Tuesday, January 22, 2013

Jawapan KPM Kepada Isu Naik Pangkat Time-Based

Utusan Malaysia bertarikh 13 November 2012 – KAJI NAIK PANGKAT TIME BASED

21 January 2013


Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Peneroka Ilmu, Sungai Petani, Kedah”  dalam ruangan Surat Kepada Pengarang akhbar Utusan Malaysia  bertarikh 13 November 2012Kaji naik pangkat time based.

Urusan kenaikan pangkat Time-Based merupakan keistimewaan dan kelebihan yang diberikan oleh Kerajaan kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP). PPP boleh dinaikkan pangkat secara Time-Based sekiranya memenuhi syarat tempoh masa dan syarat-syarat lain yang ditetapkan tertakluk kepada kelulusan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP). Bagi PPP yang cemerlang, boleh dipertimbangkan kenaikan pangkat dalam Laluan Cemerlang hingga ke Gred Khas C atau JUSA C secara Khas Untuk Penyadang (KUP).

Markah prestasi Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) bagi tiga tahun terkini dan perakuan daripada Ketua Jabatan merupakan syarat utama seorang pegawai layak dipertimbangkan. Sekiranya Ketua Jabatan tidak menyokong atau memperakukan pegawai untuk kenaikan pangkat, perkara tersebut sepatutnya adalah selari dengan penilaian LNPT. Ini bagi mengelakkan Ketua Jabatan memberikan LNPT yang tinggi tetapi merasakan pegawai tidak layak untuk diperakukan kenaikan pangkat Time-Based.

Mulai 1 Januari 2012, Kerajaan telah menambah baik laluan kenaikan pangkat Time-Based dengan mewujudkan kenaikan pangkat Time-Based Berasaskan Kecemerlangan bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) sehingga ke Gred DG54 secara KUP bagi tempoh 8-8-6-3. Manakala Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) diberi kenaikan pangkat sehingga ke Gred DGA38 secara KUP bagi tempoh 8-8-5. Pada masa ini, syarat kenaikan pangkat adalah sama seperti mana yang ditetapkan sebelum ini. Walau bagaimanapun, Kementerian dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang menyediakan kriteria kecemerlangan bagi urusan kenaikan pangkat Time-Based untuk dijadikan syarat kenaikan pangkat pada masa akan datang. Kriteria kecemerlangan ini akan dijadikan syarat minimum pegawai untuk dipertimbangkan kenaikan pangkat.

Sehubungan itu, Kementerian akan menimbang cadangan dan saranan yang dikemukakan untuk disesuaikan dalam kriteria kecemerlangan yang sedang disediakan tertakluk kepada kelulusan LKPPP.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Baca lagi di sini.

0 comments:

Post a Comment