Friday, April 8, 2011

Sejarah Sekolah



Pengasas sekolah sejak 1916

SEJARAH SEKOLAH


Sesi persekolahan dimulakan pada 17 Mac 1919. Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang (SMK Tinggi Kajang) pada awalnya dikenali sebagai Sekolah Inggeris Kerajaan Kajang. Bangunan asalnya ialah Rumah Rehat Kerajaan yang lama berhampiran dengan Balai Polis Kajang. Jumlah murid pada peringkat permulaan ialah 70 orang lelaki dan perempuan.

Penubuhan sekolah ini turut diperjuangkan oleh Taukeh Ng Bow Thai, Allahyarham Raja Alang, Encik Arumpalan, Encik V.Sabapathy dan Encik Gan Boon Teik. Mereka menghantar permohonan kepada pihak kerajaan untuk mengasaskan sebuah sekolah Inggeris di Daerah Kajang. Perjuangan mereka ini telah bermula sejak tahun 1916.

Pada awalnya sekolah ini menerima murid-murid untuk kelas Persediaan dan Kelas Menengah Rendah. Tenaga pengajarnya terdiri daripada seorang guru besar dan tiga orang guru. Bilangan ini bertambah seiring dengan bilangan murid yang diterima masuk.

Mata pelajaran yang diajar ialah Bahasa Inggeris, Kesusasteraan Inggeris, Geografi, Sejarah, Ilmu Hisab (Matematik), Algebra, Geometri, Lukisan, Penulisan dan Ilmu Kesihatan. Di akhir tahun murid-murid akan menduduki peperiksaan Junior dan Senior Cambridge yang diadakan setiap tahun di Dewan Bandaran, Kuala Lumpur.

Sekolah ini berpindah ke tapaknya sekarang seluas 11.3 hektar sebelas tahun kemudiannya. Namanya turut berubah menjadi Kajang High School. Bangunan utama yang ada sekarang telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Alaiddin Suleiman Shah K.C.M.G Sultan Selangor, pada 1 April 1930. Pada masa ini pelajarnya seramai 402 orang.

Pada tahun 1932, bilangan murid meningkat seramai 403 orang dan telah dijadikan pusat peperiksaan buat pertama kali semenjak penubuhannya. Menjelang 1933, jumlah itu merosot kepada 318 orang sahaja akibat kemelesatan ekonomi dunia. Sebelum perang, jumlah kelas tidak melebihi 13 kelas dan pertukaran gugu-guru jarang berlaku. Guru Besar hanya bertugas satu atau dua jam sahaja dalam sehari di sekolah.

Pada zaman kemaraan Jepun di Tanah Melayu, bagunan sekolah ini telah diambil alih oleh pihak tentera Australia sebagai tempat tinggal. Operasi sekolah bertukar ke Sekolah Convent Kajang dan berjalan pada sesi petang.

Bermula pada 6 Disember 1941 hingga 12 Septeber 1945, bangunan sekolah ini menjadi ibu pejabat tentera Wilayah Jepun dan dikenali sebagai “Toa Seinen Gakko”. Sekali lagi sekolah ini dipindahkan ke Panggung Wayang Nasional (Sekarang pusat Karaoke). Kemudian ia dijadikan Maktab Latihan Perguruan yang pertama di negara ini. Semua buku dari Maktab Raffles dipindahkan ke sini. Selepas perang tamat, buku-buku ini dihantar kembali ke Maktab Raffles (Singapura) pada tahun 1946.

Sekolah ini sungguh bernasib baik kerana tidak mengalami kerosakan semasa Perang Dunia ke Dua. Selepas perang, bilangan muridnya bertambah dengan pesat. Ramai pelajar yang pernah bersekolah pada tahun 1941 telah bersekolah semula tahun 1945.

Mata pelajaran Sains mula diperkenalkan pada tahun 1946. Pada waktu ini makmal sains belum didirikan. Hampir setahun lamanya hanya pelajaran secara teori yang disampaikan. Kemudian dua buah kelas telah dijadikan Makmal Sains.

Pada 7 April 1955, sebuah sekolah rendah (Sekolah 1 dan 2 sebagai sekolah pembekal) telah dibuka oleh DYMM Sir Hishamud’din Alam Shah K.C. M.G. Sultan Selangor. Bilangan Murid pada tahun ini telah meningkat kepada 1143 orang berbanding dengan purata 300 orang pada zaman sebelum perang Dunia ke Dua.

Pada tahun 1958, SMK Tinggi Kajang dibahagikan kepada dua bahagian yang berasingan iaitu Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah serta di bawah Pentadbiran Guru Besar dan badan Pengelola yang berasingan.

Pada tahun yang sama juga, bengkel untuk mata pelajaran vokasional (pertukangan kayu, kerja logam, kaji elektrik dan kaji daya kuasa) siap dibina. Pengambilan kumpulan murid yang pertama bagi mengikuti pelajaran tersebut telah dimulakan apabila sistem Pendidikan Komprehensif diperkenalkan. Bilik-bilik tambahan seterusnya dibina pada awal bulan Disember 1964 untuk pengajaran mata pelajaran Seni Perusahaan.

Pihak sekolah telah mengubah suaikan dewan sekolah untuk dijadikan perpustakaan yang dinamakan perpustakaan Low Ti Kok sempena nama salah seorang pengasas SMK Tinggi Kajang. YB Encik Abdul Rahman bin Haji Talib (Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu) telah merasmikannya pada 30 Julai 1960.

Sebuah blok sains telah dirasmikan oleh YB Encik Kum Poo (Pengarah Sekolah Malaysia) pada 23 Julai 1970. Kelas sains tulin untuk tingkatan 4 yang pertama bagi Daerah Hulu Langat dibuka di sini.

Untuk menampung murid-murid yang tinggal jauh, sebuah asrama kecil daripada kayu telah dibina yang menempatkan kira-kira 90 orang murid. Pembinaan bangunan baru dimulakan pada tahun 1975 dan dirasmikan pada 1 Julai 1975 oleh Encik Chan Sang Chang bagi pihak YB Dr Mahathir bin Mohamad. Asrama ini kemudian dikenali sebagai Asrama Tun Dr Abdul Aziz. Walau bagaimanapun asrama ini telah mengalami kebakaran pada bulan April 1998 dan telah diperbaiki.

Menjelang tahun 1982, sekolah ini terdiri daripada 11 blok iaitu 31 buah bilik darjah, 4 buah makmal sains, 4 buah bilik pertukangan, 1 bilik perpustakaan, 1 dewan, 2 buah kantin dan asrama.
Pada 2 Jun 1988, sebuah blok bangunan baru mengandungi 8 bilik darjah mula digunakan menampung kelas terapung yang telah wujud sejak tahun 1982. Pihak sekolah juga telah menerima sebuah surau yang dinamakan “Al-Rahman” dan telah dirasmikan pada 13 Februari 1993. Bangunan “papan” juga telah diubahsuai menjadi bangunan batu bermula pada bula Oktober 1994. Pada akhir tahun 1998, kerja-kerja membina sebuah lagi blok bangunan empat tingkat telah dimulakan.

Nama sekolah “Kajang High School” telah diubah kepada SMK Tinggi Kajang. Cogan kata dalam bahasa latin ‘Labor, Omnia, Vincit” yang bermaksud ‘harworking can overcome all difficulties’ telah ditukar kepada ‘Berilmu, Berdisiplin, Berjaya” pada tahun 1982. SMK Tinggi Kajang megah dengan warna merah putih yang terpancar melalui lencana dan bendera sekolah.

Usia SMK Tinggi Kajang yang kini berusia 92 tahun sudah tentunya telah mengukir pelbagai kejayaan dan kegemilangan yang menjadi kebanggaan warganya. Di sinilah lahirnya tokoh-tokoh penting yang telah menyumbang kepada pembangunan negara. Justeru kepada seleuruh warga SMK Tinggi Kajang, teruskanlah tradisi kecemerlangan ini sebagai pewaris generasi terbilang.


~CNM, 2/4/2011~

0 comments:

Post a Comment