Wednesday, June 23, 2010

Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah Kemungkinan Ganti Sistem Peperiksaan Awam.

Dipetik dari http://freemalaysiatoday.com/bahasa/?p=5518

Wed, Jun 23, 2010

Oleh Fazy Sahir

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sistem pentaksiran berasaskan sekolah mungkin digunakan bagi menggantikan sistem peperiksaan awam di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata menerusi sistem itu, Lembaga Peperiksaan akan menentukan bentuk soalan yang boleh dinilai oleh guru dan pencapaiannya akan diukur kemudian.

"Kita gantikan sistem peperiksaan awam kepada satu sistem pentaksiran berasaskan sekolah, ini belum dimaklumkan tetapi sudah dikaji dan didapati mungkin sesuai kerana ia diamalkan di banyak negara.

"Mungkin ia tidak banyak beza berbanding negara lain, yang penting ia tidak menjejaskan soal pembelajaran iaitu cara guru mengajar dan murid belajar adalah sama, tetapi bagaimana kita hendak nilai, sama ada peperiksaan awam atau sistem penilaian," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Malah menurut beliau, kerajaan tidak akan tergesa-gesa dalam melaksanakan sesuatu dasar.

Beliau merujuk kepada cadangan kemungkinan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan.

Menurutnya buat masa ini, kementerian sudah berada di peringkat akhir untuk melaksanakan auditan ke atas semua sekolah.

Auditan tersebut bagi menetapkan sebarang keutamaan berdasarkan kepada keperluan sesebuah sekolah.

"Dalam konteks ini, sekolah yang benar-benar memerlukan peruntukan akan diberi keutamaan dan pertimbangan yang sewajarnya. Soal lokasi atau jenis sekolah tidak timbul, semua sekolah akan diberi perhatian khusus supaya persekitaran dan pembelajaran yang kondusif dapat diwujudkan," katanya.

Sehubungan itu, dalam menentukan senarai projek-projek pembangunan dalam RMK-10, laporan audit tersebut akan diguna pakai sepenuhnya bagi menetapkan sebarang pembinaan sekolah baru atau penambahbaikan berdasarkan kepada keperluan.
Maka ia bukannya berdasarkan desakan mana-mana pihak.

Tambahnya, beliau turut mengarahkan kementeriannya untuk membuat penilaian telus dalam pemberian bantuan kepada murid-murid yang layak.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak khusus di bawah kementerian saya yang tidak amanah dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan," katanya.

0 comments:

Post a Comment