Saturday, May 1, 2010

PROGRAM LADAP 2010 - ULASAN BUKU

TAJUK BUKU: 
PSI, Personalized System of Instruction, 41 Germinal Papers, A Selection of Reading  on the Keller Plan.
PENYUNTING: 
Sherman, J.Gilmour
PENERBIT:        
W.A.Benjamin, Inc., Menlo Park, California, 1974
BIDANG:
Pengetahuan dan Profesionalisme 
FOKUS:       
Kandungan dan Kaedah Pedagogi 
PENGULAS:      
Anonymous

1.0  RINGKASAN EKSEKUTIF

Kaedah PSI (Sistem Pengajaran & Pembelajaran Kendiri) atau dikenali sebagai Rancangan Keller pada mulanya hanya digunakan untuk kursus pengenalan psikologi. Oleh kerana keberkesanannya menyebabkan kaedah ini berkembang dan digunakan dengan meluas sehingga meliputi berbagai bidang kursus pengajian. Rancangan Keller atau PSI merupakan satu kaedah P&P berbentuk pembelajaran arah kendiri (PAK) yang sangat berbeza dari kaedah P&P tradisional berbentuk kuliah. Terdapat lima ciri utama yang membezakannya dari kaedah kuliah iaitu;
  • Kemajuan kendiri
  • Unit kerja yang kecil yang berurutan
  • Penggunaan kuliah dan tunjukcara sebagai sumber motivasi kepada pelajar
  • Penguasaan sesuatu unit pelajaran sebelum berpindah kepada unit yang seterusnya
  • Penggunaan proktor dalam proses P&P.
Buku yang disunting oleh Sherman merupakan koleksi 41 kertas geminal yang ditulis oleh penulis-penulis yang dipilih khas sebagai bahan bacaan berhubung dengan Rancangan Keller atau kaedah P&P PSI. Buku ini disunting sedemikian rupa bertujuan menjadikannya sebagai sumber rujukan atau pedoman kepada pembaca yang ingin mendalami PSI dan sebagai contoh menerangkan bagaimana Rancangan Keller atau PSI boleh dijalankan. Pada keseluruhannya kandungan kertas-kertas yang dibentangkan dalam buku ini menggariskan dengan jelas dan terperinci kaedah PSI. Data yang diperolehi daripada penyelidikan bagi menilai keberkesanan kaedah PSI serta masalah-masalah yang timbul semasa melaksanakan kaedah PSI juga dimuatkan. Selain itu buku ini juga memuatkan tulisan-tulisan yang membincangkan kelebihan dan potensi perkembangan kaedah PSI. Pada bahagian akhir buku ini dimuatkan dengan syarahan atau ceramah oleh Keller dan Sherman yang menyentuh sejarah, perkembangan dan teori kaedah PSI.

Buku ini dibahagikan kepada lima bahagian. Bahagian I mengandungi 10 artikel yang membincangkan pelaksanaan kaedah PSI dan pembentangan data yang mengukur dan menilai keberkesanan dan kekuatan kaedah PSI dalam kursus psikologi. Bahagian ini dimulakan dengan artikel pengenalan Rancangan Keller melalui tulisan terkenal oleh Keller bertajuk Good-bye Teacher. Artikel ini menggariskan dengan terperinci perkembangan konsep, teori dan ciri-ciri kaedah PSI dan bagaimana kaedah PSI digunakan untuk menggantikan kaedah P&P konvensional yang berdasarkan kepada kuliah.

Bahagian II buku ini memuatkan data dan laporan daripada kajian-kajian penggunaan kaedah PSI dalam bidang-bidang selain daripada kursus psikologi iaitu fizik, kimia, biologi, kejuruteraan, matematik, statistik, sains perpustakaan dan falsafah. Pada keseluruhannya data dan laporan kajian yang diperolehi memihak kepada kaedah PSI yang dapat digunakan dan dikembangkan ke dalam pelbagai kursus selain dari kursus psikologi.

Walaupun data dan laporan yang dibentangkan dalam Bahagian I dan II megakui kelebihan dan kekuatan Rancangan Keller atau kaedah PSI, tidak dapat dinafikan juga terdapat kelemahan atau masalah yang dihadapi semasa melaksnakan kaedah PSI. Perkara ini telah dimuatkan dalam Bahagaian III buku ini. Situasi-situasi yang menyebabkan kaedah PSI tidak dapat dilaksanakan atau tidak mencapai matlamat yang disasarkan telah dihuraikan dengan terperinci dalam bahagian ini. Pada dasarnya, Sherman telah mengumpulkan masalah-masalah yang berlaku kepada tiga kategori iaitu;
  • Masalah yang timbul dari sistem atau kaedah itu sendiri
  • Masalah yang timbul dari pengubahsuaian sistem dari bentuk asalnya
  • Masalah yang timbul dari kurang kefahaman terhadap konsep PSI
Bahagian IV mengandungi lapan artikel yang membincangkan kaedah-kaedah P&P yang menyerupai PSI atau sebagai lanjutan dari kaedah PSI. Contoh seperti kaedah P&P yang tidak menggunakan ciri proktor, kaedah P&P temubual, kaedah P&P yang menggunakan pendekatan audio-tutorial iaitu penggunaan bahan media yang lebih canggih dari kaedah PSI dan kaedah P&P preskripsi kendiri iaitu satu kaedah yang melibatkan aktiviti pembelajaran yang optima oleh pelajar.

Bahagian V mengandungi lima artikel yang menerangkan latar belakang, sejarah, perkembangan dan tori PSI. Artikel-artikel ini merupakan kertas-kertas syarahan atau ceramah yang disampaikan sendiri oleh Keller dan Sherman. Pada amnya syarahan atau ceramah mereka berkisar kepada penemuan dan penetapan ciri-ciri bagi kaedah P&P yang dinamakan sebagai PSI dan kemudiannya dikenali sebagai Rancangan Keller. Syarahan dan ceramah mereka juga menyentuh bagaimana kaedah ini bermula di Columbia kemudian berhijrah ke Brazil dan akhirnya berkembang pesat di USA melalui Arizona State University. Perkembangan pesat kaedah PSI ini adalah disebabkan oleh penerimaan baik oleh para pelajar yang mengikuti kursus-kursus menggunakan kaedah ini. Data dari analisis pelakuan eksperimental telah menunjukkan kesan positif penggunaan kaedah PSI dalam P&P dan ini juga menerangkan bahawa PSI adalah satu rancangan yang mempunyai matlamat. Ia adalah satu kaedah yang spesifik dalam melaksanakan P&P yang berkesan.

2.0 PEMBELAJARAN YANG DIPEROLEHI

Buku ini telah mendedahkan dengan terperinci dan jelas apakah itu PSI atau Rancangan Keller iaitu satu keadah pedagogi berasaskan Pembelajaran Arah Kendiri (PAK). Ia juga meliputi sejarah perkembangan dan ciri-ciri kaedah PSI serta perlaksanaan kaedah ini. Pembaca buku ini juga diyakinkan dengan kelebihan dan kekuatan kaedah ini dalam P&P berbanding dengan kaedah konventional yang sedia ada melalui data dan laporan dari kajian-kajian yang telah dijalankan. Walaupun demikian, pembaca juga dimaklumkan dengan kelemahan-kelamahan dan masalah-masalah yang terdapat dalam kaedah PSI dan sebab-sebab berlakunya kelemahan tersebut.

Pada dasarnya, buku ini sangat berguna kepada para pendidik atau ahli akademik yang ingin mendalami aspek-aspek kaedah pengajaran dan pembelajaran arah kendiri dan salah satu daripada kaedah ini ialah kaedah PSI atau Rancangan Keller. Buku ini merupakan satu contoh buku panduan atau pedoman yang membolehkan para pembaca mengenali dan memahami teori dan ciri-ciri dalam PSI, masalah-masalah yang dihadapi dan perkembangan penggunaannya kepada pelbagai kursus pengajian. Melalui pengalaman-pengalaman yang dibentangkan dalam buku ini, penyunting berharap pembaca yang berminat dengan kaedah ini dapat memperbaiki dan mengembangkan keseluruhan sistem pengajaran dan pembelajaran arah kendiri sebagaimana disebut oleh Sherman;
The method is not the answer to all of education’s ills, it is not offered as a final solution. It should not become the new orthodoxy or be slavishly followed. Hopefully someone here today, after several trials, will devise a variant of the basic procedure that is superior to anything any of us have yet attempted.

3.0 APLIKASI DI SEKOLAH

Seperti dinyatakan oleh Sherman, kaedah PSI merupakan satu kaedah P&P yang berbeza dari kaedah tradisional atau konvensional seperti kuliah atau chalk and talk. Kaedah ini condong kepada penglibatan pelajar maka adalah selaras dengan falsafah pedagogi yang dianjurkan iaitu P&P berpusat kepada murid. Melalui kaedah ini peranan guru sebagai fasilator dapat dipratikkan kerana bahan-bahan P&P yang telah disediakan menjurus kepada aktiviti kendiri pelajar. Penilaian pencapaian pelajar adalah melalui persembahan yang dilakukan oleh pelajar pada bahan-bahan yang telah disediakan oleh guru. Melalui kaedah ini juga pelajar dapat dipandu untuk menyelesaikan tugasan mereka menurut urutan pembelajaran melalui bahan yang diberikan kepada mereka. Pelajar dianggap telah menguasai sesuatu bidang pembelajaran apabila mereka telah selesai melaksanakan tugasan yang diberikan. Pada dasarnya guru-guru di sekolah ini yang telah menyediakan modul-modul berbentuk lembaran kerja dalam proses P&P mereka telah melaksanakan sebahagian ciri PSI yang dinyatakan di atas. Ramai guru secara tidak sedar sebenarnya telah melaksanakan proses P&P secara PSI. Penerangan melalui kursus dalaman seperti LADAP dengan seorang pelatih yang mahir dan pemurnian kaedah yang telah dilaksanakan mungkin akan menyedarkan guru-guru kelebihan kaedah ini berbanding dengan kaedah traditional yang sedang diamalkan. Pada masa yang sama murid-murid juga perlu disedarkan supaya mereka bersedia menerima dan melaksanakan kaedah P&P ini melalui penglibatan aktif serta komitmen mereka dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.

Sekian.

0 comments:

Post a Comment